Kawal kemarahan dan elakkan diri daripada bertindak mengikut emosi ketika berlaku pertengkaran. -Gambar hiasan AI
PERTENGKARAN akibat cemburu dipercayai menjadi punca seorang lelaki menikam teman wanitanya berkali-kali selepas mengesyaki mangsa menjalinkan hubungan sulit dengan individu lain.Mangsa, Ganga, 22, dipercayai diserang teman lelakinya, Gokul Krishna, 23, selepas berlaku pertikaman lidah mengenai dakwaan berkenaan. Insiden berdarah itu dilaporkan berlaku kira-kira pukul 11 pagi pada Jumaat di sebuah rumah penginapan persendirian di Bengaluru, India, sehari selepas pasangan terbabit mendaftar masuk ke situ.Siasatan awal mendapati suspek yang dikuasai perasaan marah dan curiga mencapai sebilah pisau lalu menikam mangsa beberapa kali, termasuk di bahagian bawah perut sebelah kiri.Polis yang tiba di lokasi menemukan mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri serta berlumuran darah sebelum dia dikejarkan ke Hospital Victoria berhampiran.Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia akibat kehilangan darah yang banyak.Difahamkan, pasangan yang berasal dari Kerala, India itu sudah menjalin hubungan selama empat tahun dan pernah menuntut dalam bidang kejururawatan di Harsha College, Bengaluru.Selepas tamat pengajian, kedua-duanya datang ke Bengaluru untuk mencari pekerjaan. Ketika kejadian, mangsa masih mencari kerja manakala suspek dilaporkan membantu calon lain mendapatkan tempat di kolej kejururawatan.Susulan kejadian, suspek ditahan dan kes bunuh itu disiasat di Balai Polis Cottonpet. -Agensi